KATA majmuk ialah bentuk kata yang wujud apabila dua kata dasar atau lebih dirangkaikan menjadi satu kesatuan sintaksis yang membawa makna khusus. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit, dan lazimnya, dieja terpisah. Mana-mana kata majmuk bahasa Melayu yang dieja berangkai atau bergabung merupakan kecualian ejaan.
Kata majmuk wujud dalam pelbagai bahasa. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, dapat kita temukan bentuk seperti ice cream, cane sugar, drip-dry, duty-free, honey moon dan red tape. Dalam bahasa Melayu, antaranya, termasuklah contoh seperti air hujan, guru besar, pisang gulai, pembantu rumah, dan telefon dail terus.
Kata majmuk berbeza daripada frasa kerana binaan kata majmuk tidak dapat disisipkan dengan sebarang unsur kata di antara unitnya. Misalnya kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan dengan unsur lain seperti “yang”, menjadi kerusi yang malas. Bolehkah kita mengatakan kerusi itu mempunyai sifat malas? Bandingkan dua potong ayat yang berikut ini:
1. Datuk duduk di atas kerusi malas itu.
2. *Kerusi yang malas itu murah harganya.
Sebaliknya, pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana binaannya dapat disisipkan kata hubung “dan”, menerbitkan bentuk pinggan dan mangkuk. Contoh-contoh lain yang sepertinya ialah riang gembira, tua muda, miskin kaya, cantik manis, dan muda remaja boleh menerima sisipan kata hubung “dan” lalu membentuk binaan riang dan gembira, tua dan muda, miskin dan kaya, cantik dan manis, dan muda dan remaja.
Cara mengeja kata majmuk berbeza-beza antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Misalnya, bahasa Inggeris mempunyai tiga bentuk ejaan, iaitu (i) dieja bercantum (bedroom, earthquake); (ii) dieja menggunakan tanda sempang (tax-free); dan (iii) dieja terpisah (reading material).
Dalam bahasa Melayu, kata majmuk dieja dengan dua cara, iaitu yang dieja berangkai, dan dieja terpisah. Kata majmuk yang dieja berangkai (jawatankuasa, kakitangan, setiausaha, suruhanjaya), dan yang dieja terpisah (jurucakap rasmi, kertas kerja, mata pelajaran).
Dalam buku Tatabahasa Dewan edisi ketiga, juga beberapa buku tatabahasa yang lain, kata majmuk tidak dieja dengan menggunakan tanda sempang, melainkan apabila kata majmuk itu ditulis dalam bentuk penggandaan. Contohnya, cakera liut, kertas kerja dan naib kadi tidak dieja seperti *cakera-liut, *kertas-kerja dan *naib-kadi melainkan dieja cakera liut, kertas kerja dan naib kadi jua.
Ada juga pandangan ahli bahasa yang berpendapat kata majmuk harus dieja menggunakan tanda sempang, bagi tujuan untuk penulisan kata istilah bidang ilmu, dan untuk membezakannya dengan bentuk frasa. Hal ini ditunjukkan dalam ayat 3 dan 4:
3. Fostat-fostat asli tidak mudah larut. (frasa)
4. Sungguhpun superfostat merupakan satu sumber P mudah-larut, sifat ini tidak langsung kelihatan. (kata majmuk)
Bentuk mudah larut dalam ayat 3 ialah bentuk frasa, manakala mudah-larut dalam ayat 4 ialah kata majmuk kerana merujuk istilah bidang sains, dan kerana itu ditulis dengan menggunakan tanda sempang di antaranya. Pandangan seperti ini merupakan satu usaha penyelesaian kepada masalah untuk memastikan bentuk kata majmuk dengan bentuk frasa.
Buku tatabahasa pegangan, iaitu Tatabahasa Dewan, dan buku tatabahasa karangan beberapa orang ahli bahasa yang tersohor menyepakati penentuan ejaan kata majmuk tidak menggunakan tanda sempang melainkan apabila ejaan kata majmuk itu melalui proses penggandaan.
Penggandaan kata majmuk berlaku dengan dua cara. Kata majmuk yang dieja bergabung digandakan seluruhnya. Contohnya:
jawatankuasa- jawatankuasa-jawatankuasa
kakitangan - kakitangan-kakitangan
setiausaha - setiausaha-setiausaha
suruhanjaya - suruhanjaya-suruhanjaya
tanggungjawab - tanggungjawab-tanggungjawab
Bagi kata majmuk yang dieja terpisah, hanya kata awal yang digandakan. Contohnya:
kertas cadangan - kertas-kertas cadangan
mata pelajaran - mata-mata pelajaran
Menteri Besar - Menteri-menteri Besar
Naib Presiden - Naib-naib Presiden
setiausaha persatuan - setiausaha-setiausaha persatuan
Jelaslah bahawa, tanda sempang hanya digunakan dalam pengejaan kata majmuk yang digandakan. Kata majmuk bahasa Melayu, baik daripada jenis rangkai kata bebas, kata majmuk yang berupa istilah khusus, dan kata majmuk yang mendukung maksud kiasan (simpulan bahasa) tidak dieja dengan menggunakan tanda sempang. Misalnya guru besar, Duta Besar (rangkai kata bebas) tidak dieja *guru-besar, *Duta-Besar; bentuk temu duga, deria rasa (istilah) tidak dieja *temu-duga, *deria-rasa; dan anak emas, buku lima (maksud kiasan) tidak dieja *anak-emas, *buku lima.
Hal yang sama juga berlaku dalam penulisan kata kerja majmuk. Kata bersatu padu tidak dieja/ditulis sebagai *bersatu-padu, *berurus niaga tidak dieja *berurus-niaga dan beranak tiri tidak dieja *beranak-tiri.
Demikian huraian tentang kata majmuk yang menggunakan tanda sempang. Ingatlah, tanda sempang hanya digunakan apabila kata majmuk itu diulang ejaannya.
Tuesday, August 25, 2009
Tanda Sempang dalam Kata Majmuk
Posted by NOrLianTi bt AdaLi at 9:23:00 PM
Labels: pendidikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment