Monday, August 31, 2009

Jenis ayat majmuk gabungan

Ayat majmuk gabungan (conjunction sentence) terdiri daripada dua ayat atau lebih, yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata-kata hubung seperti dan, tetapi, atau, dan lain-lain. Contoh:
1. Abang belajar di Jepun tetapi kakaknya belajar di Australia.
2. Rumah di taman perumahan itu baru sahaja siap dan belum ada penghuninya.
3. Pesakit itu hendak dibawa ke klinik atau ke hospital?
Ayat contoh 1 – 3 menunjukkan penggunaan kata hubung yang berbeza, iaitu tetapi, dan, dan atau. Kata hubung yang berbeza itu digunakan dalam ayat yang mengandungi maksud atau cerita yang berbeza-beza pula.
Ada juga unsur (konstituen) ayat majmuk yang sama tetapi menggunakan kata hubung yang berbeza lalu menghasilkan makna ayat yang berbeza juga. Telitilah makna yang terkandung dalam ayat contoh yang berikut:
4. (a) Anandan dan Sarojini bercuti selama dua hari.
(b) Anandan atau Sarojini bercuti selama dua hari?
(c) Anandan kemudian Sarojini bercuti selama dua hari.
Unsur ayat 4 (a), (b) dan (c) sama belaka melainkan kata hubung dalam ketiga-tiga ayat majmuk tersebut.
Kelainan kata hubung dalam ayat-ayat itu menghasilkan makna yang berbeza. Makna ayat 4 (a) menyatakan bahawa kedua-dua Anandan dan Sarojini bercuti selama dua hari; tetapi maksud ayat 4 (b) pula memberitahukan suatu pilihan yang ada batasannya, iaitu sama ada Anandan yang bercuti atau Sarojini yang bercuti selama dua hari. Namun, maksud ayat 4 (c) pula mengisahkan hal percutian berlaku secara berturut-turut, yakni Anandan, dan lepas itu Sarojini pula bercuti. Demikianlah kelainan makna ayat dapat ditentukan oleh kelainan kata hubungnya.
Penggunaan kata hubung yang berbeza juga dapat menghasilkan tiga jenis gabungan utama dalam ayat gabungan, iaitu:
(i) Gabungan yang susunan faktanya berurutan;
(ii) Gabungan yang susunannya menyatakan maksud pertentangan fakta; dan
(iii) Gabungan yang menggunakan kata hubung yang berpasangan.
Untuk menghasilkan ayat gabungan yang susunan faktanya berurutan, yakni satu demi satu, beberapa kata hubung yang sesuai digunakan ialah dan, lagi, lalu, sambil, serta, dan lain-lain seumpamanya. Beberapa contoh penggunaan dalam ayat:
5. Askar itu berlari sambil bernyanyi.
6. Ceramahnya sungguh menarik, tambahan pula disisipkan dengan jenaka.
7. Mula-mula lukanya dibersihkan, kemudian dijahit, akhirnya dibalut dengan kain kasa.
Jenis yang kedua, iaitu gabungan yang maksudnya menyatakan pertentangan fakta. Kata hubung yang sesuai digunakan untuk maksud pertentangan fakta ini ialah tetapi, sebaliknya, melainkan, pada hal, kecuali. Beberapa penggunaan tentangnya:
8. Abangnya rajin belajar, tetapi adiknya malas.
9. Kami bekerja setiap hari kecuali hari Jumaat.
10. Tuhan tidak akan merobah nasib seseorang melainkan dirinya sendiri.
11. Pakaian yang dibelinya sangat mahal, pada hal ada yang lebih murah.
Akhir sekali, gabungan yang susunannya mencantumkan ayat-ayat dengan menggunakan kata hubung berpasangan, seperti baik...mahupun, bukan sahaja...tetapi juga, daripada...lebih baik, sama ada...atau, sedangkan...apa pula, sedangkan...apa lagi, dan lain-lain sepertinya. Telitilah penggunaan kata hubung berpasangan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:
12. Buku itu berguna bukan saja kepada pelajar tetapi juga kepada guru.
13. Saya ingin mengetahui sama ada barang itu sudah anda terima atau belum.
14. Adakah cerita kamu ini benar atau (pun) rekaan semata-mata?
15. Daripada berkahwin dengannya lebih baik saya membujang.
Seperti halnya dengan kata hubung tunggal, kata hubung berpasangan ini
menggabungkan dua atau beberapa ayat tunggal. Ayat 12, misalnya, terhasil daripada dua ayat tunggal, iaitu (a) Buku itu berguna kepada pelajar, dan (b) Buku itu berguna kepada guru. Kedua-dua ayat (a) dan (b) digabungkan dengan menggunakan kata hubung berpasangan bukan sahaja...tetapi juga.
Ayat tunggal (a) dan (b) itu juga boleh digabungkan dengan kata hubung tunggal dan membentuk ayat 12 (c) Buku itu berguna kepada pelajar dan guru. Jadi pola ayat 12 (c) merupakan pilihan kepada pola ayat 12, tetapi mempunyai maksud yang sama, iaitu menunjukkan bahawa pelajar dan guru beroleh kemanfaatan menggunakan buku yang sama. Namun, ayat 12 (c) ini kurang kesannya berbanding dengan ayat 12 itu.
Begitulah huraian tentang jenis-jenis ayat majmuk gabungan. Kefahaman anda yang jelas berkenaan jenis-jenis ayat ini membolehkan anda memilih kata hubung yang sesuai untuk jenis ayat majmuk yang anda kehendaki.

0 comments: